Friday, April 29, 2011

Indikasi Cinta Milik Siapa

Cinta Melahirkan Rindu
Bayangkan kita seorang pelajar yang jauh dari dakapan keluarga, sudah pasti rasa rindu akan timbul dikala terkenangkan mereka. Bahkan tangisan kerinduan mampu mengalir kerana rindunya kita kepada mereka.
Bayangkan pula kita seorang suami, sudah pasti merindui si isteri jika lama ditinggalkan. Lebih-lebih lagi bagi si isteri, yang lembut hatinya menangisi perasaan rindu yang bermain di hati.
Begitu juga anak muda yang dikaburi dengan kerinduan kepada kekasihnya, sehingga tidur tak lena, makan tak selera, mandi tak basah, solat tak khusyuk (kalau solat), hidup bagai tidak menentu.
Bayangkan pula kita sebagai ibu bapa, sudah tentu merindui gelagat anak-anak yang kita sayangi. Anak-anak yang jauh dari pandangan sentiasa bermain di fikiran kita, sentiasa memikirkan keselamatan mereka, sentiasa memikir kebahagian mereka, dan yang pasti sentiasa merindui untuk ketemu mereka.
Mengapakah rasa rindu mampu muncul di hati sanubari kita?
Cinta. Ya, Kerana cinta.
Cinta yang melahirkan rasa rindu, kerana kerinduan tidak akan lahir tanpa ada kuasa cinta yang mengikatnya.
Inilah ketenangan yang pasti menghiasi hati kita ketika mengingati sesuatu yang kita cintai. Apatah lagi ketika mendapat tahu kita bakal menjumpainya, bahkan jika couple sekarang, cukup hanya terdengar nama si dia, terus tergetar hatinya.
Apabila terus menerus diingatkan tentang sesuatu yang kita cinta, rasa cinta dan rindu akan terus bercambah dan makin kukuh.
Persoalannya disini, jika teringat ibu bapa, anak-anak, suami atau isteri, kekasih hati, mengapa kerinduan mampu timbul dan kebahagiaan kononnya dirasai?
Sedangkan ketika kita menjauh dari Allah Ar-Rahim, tiada pun rasa rindu seperti rindu kita pada lainnya?
Adakah kita lebih merindui sesuatu yang lain selain Allah?
Ketika mendengar ibu dan ayah akan datang menziarah kita, atau mendengar suami atau isteri sudah ingin pulang, mengapa terasa bahagia sungguh mengenainya.
Sedangkan ketika nama Allah yang dilaungkan tidak terasa apa-apa di hati kita, ketika perkara mengenai Allah disampaikan juga seperti ianya berlalu begitu sahaja, ketika kita mendengar ayat-ayat dari-Nya, tidak bertambah rasa cinta dan rindu kepada-Nya?
Namun, bila cinta yang lain datang menyapa, makin bertambah rasa cinta dan rindu di hati kita?
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah mereka yang bila disebut nama Allah gemetarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayatNya bertambahlah iman mereka (kerananya), dan hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakkal." - [QS Al-Anfal, 8:2]
Muhasabah Cintamu....
Tangisan Kerana Cinta
Berapa ramai antara kita bersedih dan menangis ketika kita makin jauh dari ibu dan ayah, menangis ketika anak-anak makin jauh dari kita, menangis ketika meninggalkan keluarga kita, menangis ketika kehilangan sesuatu barang yang dicintai, menangis ketika wang ringgit kita makin berkurang, ketika harta dan perniagaan makin merugi, bahkan banyak lagi kepentingan dalam kehidupan kita yang kita menangis tatkala ia makin menjauh.
"Dan kamu mencintai harta benda dengan kecintaan yang berlebihan." - [QS Al-Fajr, 89:20]
Namun, pernah tidak kita menangis kerana kehilangan cinta Allah, menangis ketika mengingati Allah, menangis ketika membaca ayat-Nya, menangis ketika makin menjauh dari Allah, menangis ketika bermaksiat dihadapan Allah, menangis ketika tidak mampu berkorban untuk Allah dan menangis kerana merindui Allah?
Tidakkah kita merasa hina kerana lebih sanggup menangisi sesuatu keadaan atau perkara, namun bila mengenai Allah kita tidak mampu menangis? Adakah cinta kita kepada yang selain dari Allah melebihi dari tahap cinta yang digariskan Allah?
Katakanlah: "Jika bapa-bapamu, anak-anakmu, saudara-saudaramu, isteri-isterimu, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuwatiri kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai dari Allah dan Rasul-Nya dan dari berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya." "Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik." - [QS At-Taubah, 9:24]
Cukuplah mencintai sesuatu yang lain melebihi cinta kita kepada Allah, Rasul dan Jihad.
Sedarlah cinta kita milik siapa yang paling utama. Bukan kepentingan kita, keluarga kita, kerjaya kita, kenderaan kita, rumah kita, masa rehat kita, tenaga kita dan harta kita, lebih kita pentingkan sehingga mengorbankan kepentingan cinta kepada Allah, Rasul dan Jihad.
Kita wajib berkorban demi kepentingan cinta Allah, Rasul dan Jihad, bukan mengorbankan kepentingan cinta Allah, Rasul dan Jihad untuk kepentingan yang lainnya. Berkorbanlah demi cinta-Nya.
Tangisan cinta yang paling utama milik Allah, usahakan tangisan kerana Allah lebih kita utamakan berbanding tangisan kerana ciptaan-Nya. Seperti para sahabat yang bercucur air matanya tatkala tidak dapat berjuang, berjihad di jalan Allah.
"Dan tiada (pula) berdosa atas orang-orang yang apabila mereka datang kepadamu, supaya kamu memberi mereka kenderaan, lalu kamu berkata: "Aku tidak memperoleh kenderaan untuk membawamu" lalu mereka kembali, sedang mata mereka bercucuran air mata karena kesedihan.." - [QS At-Taubah, 9:92]
Inilah tangisan yang sepatutnya, menangis ketika tertinggal tahajjud kita, dhuha dan quran kita, menangis ketika tidak dapat berkorban masa dan tenaga kerana Allah, menangis ketika cinta kita dirampas selain cinta kepada Allah.
Muhasabah Cintamu...
Kebahagian dan Ketenangan Cinta
"Orang-orang yang beriman dan hati mereka manjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram." - [QS Ar-Ra'd, 13:28]
Inilah kebahagian dan ketenangan yang sepatutnya, jangan sampai hati kita lebih tenang ketika mengingat selain dari Allah.
Ramai antara kita lebih bahagia dan tenang ketika mengingati keluarga, harta kekayaan, kerjaya, pujian dan sanjungan manusia.
Takutlah hati itu sudah dikotori, sudah dinodai dengan kebahagian lain yang tidak hakiki, yang pada pandangan manusia dan dunia pasti membahagiakan, namun pandangan Allah itu lebih utama.
Kebahagian dan ketenangan sebenar hanya akan hadir bila kita mendekati Allah.
Kepekaan hati kita mungkin sudah makin cair ditelan arus keduniaan. Kekadang dosa yang dilakukan dianggap hanya seperti lalat yang singgah dan mampu hilang hanya dengan dikuis begitu sahaja, sedangkan kita seharusnya menganggap dosa dan maksiat itu laksana gunung yang bakal menghempap kita ketika melakukannya, laksana gunung berapi yang bakal membakar kita.
Inilah kepekaan hati yang perlu kita asah bersama, hatta dosa kecil itu lebih kita takuti.
"Dosa kecil lebih aku takuti dari dosa besar kerana ia tidak dapat dirasa kerana kekecilannya." - (Ibn Qayyim)
Jangan turuti hawa nafsu yang mengundang kepada dosa dan maksiat, yang mengundang kepada futurnya cinta utama dan yang akhirnya menumpulkan hati kita.
"Mereka itulah orang-orang yang dikunci mati hati mereka oleh Allah dan mengikuti hawa nafsu mereka." - [QS Muhammad, 47:16]
Indikasi Cinta Milik Siapa
Setelah bersama menghayati rindu dan tangisan kerana kecintaan. Mari tepuk dada, tanya iman. Siapa sebenarnya cinta paling utama?
"Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, yaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternakdan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (surga)." - [QS Al-Imran, 3:14]
Adakah manusia lebih kita cintai dari Allah?
Adakah harta lebih kita cintai dari Allah?
Adakah kerjaya lebih kita cintai dari Allah?
Adakah kehidupan dunia lebih kita cintai dari Allah?
Adakah kenderaan dan kediaman lebih kita cintai dari Allah?
Adakah keseronokan hiburan lebih kita cintai dari Allah?
Adakah kenyamanan tidur lebih kita cintai dari Allah?
Adakah waktu rehat kita lebih dicintai dari Allah?
Apa yang paling kita rindu bila kehilangannya?
Ke mana tangisan kita sering dicucurkan?
Inilah indikasi cinta kita milik siapa.
Ayuh ikhwah dan akhwat sekalian, tidak ada insan suci yang tidak mempunyai masa lampau dan tidak ada insan berdosa yang tidak mempunyai masa hadapan.
Tanamlah azam dan kesungguhan kearah yang lebih baik dan sentiasalah tingkatkan ia.
Jadikan hari ini lebih baik dari semalam, dan usahakan esok hari agar lebih baik dari hari ini.
Mari muhasabah cinta kita bersama, letakkan kepentingan cinta yang lebih utama, nikmat-nikmat yang diberikan kepada kita perlu dicintai, tapi yang perlu dicintai adalah cinta kita kepada Pemberi Nikmat yang lebih utama.
Muhasabah Cintamu..

Berdoalah Terus Kepada ALLAH

Daripada Abdullah ibn Abbas ra, bahawa Rasulullah pernah berdoa: "Ya Allah aku berserah kepada engkau, aku beriman kepada engkau, aku bertawakal kepada engkau, aku kembali kepada engkau dan aku berjuang kerana engkau. Ya Allah, aku berlindung dengan kemuliaan dan kekuatan engkau, tiada Tuhan yang aku sembah melainkan engkau, janganlah aku disesatkan. Engkau yang hidup dan tidak akan mati sedangkan jin dan manusia semuanya akan mati (Muttafiqun alaih)". (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
ANTARA tanda kasih sayang dan rahmat Allah kepada hamba-hamba-Nya adalah Dia tidak mewujudkan sebarang halangan untuk seorang hamba memohon kepada-Nya. Insan diperintahkan berhubung langsung dengan Allah tanpa sebarang 'broker' dalam hubungan yang suci itu. Tiada sebarang perantaraan antara Allah dan hamba-hamba-Nya.
Islam menolak segala unsur keberhalaan yang menjadikan makhluk sebagai tuhan jelmaan menggantikan tuhan yang hakiki. Islam menganggap perbuatan memohon kemakbulan doa dari makhluk adalah syirik. Tidak kira siapa pun makhluk itu. Sama ada dia nabi ataupun wali.
Seorang muslim tidak diizinkan pergi ke kubur mereka dan menyeru: wahai fulan tolonglah saya! Atau: Wahai nabi tolonglah tenteramkan jiwa saya! Atau: Wahai wali sembuhkanlah penyakit saya!
Perbuatan itu adalah syirik. Mukmin hanya meminta doa daripada Allah. Firman Allah: (maksudnya)
Dan tiada yang lebih sesat dari orang yang menyeru selain Allah, yang tidak dapat menyahut seruannya sehinggalah ke hari kiamat, sedang mereka (makhluk-makhluk yang mereka sembah itu) tidak dapat menyedari permohonan tersebut. Dan apabila manusia dihimpunkan (untuk dihitung amalan pada hari akhirat), segala yang disembah itu menjadi musuh (kepada orang-orang yang menyembahnya) dan membantah mereka (surah al- Ahqaf: 5-6).
Firman Allah: (maksudnya)
Allah jua yang memasukkan malam kepada siang dan memasukkan siang kepada malam (silih berganti), dan Dia yang memudahkan peredaran matahari dan bulan; tiap-tiap satu dari keduanya beredar untuk suatu masa yang telah ditetapkan. Yang melakukan semuanya itu ialah Allah Tuhan kamu, bagi-Nyalah kuasa pemerintahan; sedangkan mereka yang kamu sembah selain Allah itu tidak mendengar permohonan kamu, dan kalaulah mereka mendengar pun, mereka tidak dapat memperkenankan pemohonan kamu; dan pada hari kiamat pula mereka mengingkari perbuatan syirik kamu. Dan (ingatlah) tiada yang dapat memberi tahu kepadamu (Wahai Muhammad, akan hakikat yang sebenarnya) seperti yang diberikan Allah Yang Maha mendalam pengetahuan-Nya (surah Fatir: 13-14).
Maka perbuatan memohon selain Allah, sama ada menyeru berhala secara terang atau memanggil nama para wali seperti Abdul Qadir al-Jailani atau wali 'songo' atau apa sahaja termasuk dalam kerja-kerja syirik yang diharamkan oleh nas- nas al-Quran dan al-sunah.
Nabi s.a.w. begitu menjaga persoalan akidah ini. Daripada Ibn 'Abbas:
"Bahawa seorang lelaki berkata kepada Nabi s.a.w: "Apa yang Allah dan engkau kehendaki." Maka baginda bersabda kepadanya: Apakah engkau menjadikanku sekutu Allah, bahkan (katakan): apa yang hanya Allah kehendaki. (Riwayat al-Imam Ahmad dinilai sahih oleh Al-Albani, Silsilah al-Ahadith al-Sahihah, 1/266).
Bandingkanlah ketegasan Nabi ini dengan ajaran sesetengah guru tarekat atau sufi yang mencetuskan segala unsur keajaiban pada diri mereka agar dikagumi oleh pengikutnya. Akhirnya, mereka seakan Tuhan yang disembah, atau wakil Tuhan yang menentukan penerimaan atau penolakan amalan pengikutnya. Bahkan untung rugi nasib masa depan pengikut pun seakan berada di tangan mereka.
Demikian juga, pengikut yang melampau, berlebih-lebihan memuja tokoh agama, akhirnya boleh terjerumus kepada kesyirikan. Terlampau memuja tokoh seperti itulah yang menyebabkan banyak individu dianggap keramat dan suci sehingga dipanggil 'tok keramat' lalu mereka seakan dimaksumkan. Kemudian, datang pula orang-orang jahil ke kubur mereka membayar nazar atau meminta hajat mereka ditunaikan. Sehingga apabila saya ke Urumuqi di China, ada satu gua yang kononnya dianggap tempat Ashabul Kahfi yang disebut dalam al-Quran itu.
Ramai yang pergi melakukan kesyirikan dengan meminta hajat di situ. Saya beritahu bahawa dalam dunia ini entah berapa banyak gua yang didakwa kononnya tempat Ashabul Kahfi. Ada di Turki, Jordan dan lain-lain. Semuanya dakwaan tanpa bukti. Sama juga kononnya tempat-tempat sejarah nabi yang didakwa oleh sesetengah pihak. Tiada petunjuk yang dapat memastikan ketulenannya.
Jika pun benar, mereka bukan tuhan untuk seseorang meminta hajat. Inilah yang terjadi kepada Nabi Isa. Dari seorang nabi yang diutuskan, akhirnya manusia menabalkannya menjadi anak Tuhan. Meminta hajat daripada orang-orang agama atau soleh setelah mereka mati adalah syirik. Islam tidak kenal perkara seperti itu. Islam tulen bebas dari segala unsur kebodohan tidak bertebing itu.
Ada yang cuba membela dengan menyatakan: bukan apa, mereka ini ialah orang yang dekat dengan Allah, kita ini jauh. Maka kita gunakan perantaraan mereka. Macam kita hendak dekat dengan menteri atau raja. Saya kata kepada mereka: Adakah awak menganggap Allah itu sama dengan tabiat raja atau menteri awak? Dakwaan inilah yang disanggah oleh al-Quran sekeras-kerasnya.
Sumber Text: Dr.Maza
أَلَا لِلَّهِ ٱلدِّينُ ٱلۡخَالِصُ‌ۚ وَٱلَّذِينَ ٱتَّخَذُواْ مِن دُونِهِۦۤ أَوۡلِيَآءَ مَا نَعۡبُدُهُمۡ إِلَّا لِيُقَرِّبُونَآ إِلَى ٱللَّهِ زُلۡفَىٰٓ إِنَّ ٱللَّهَ يَحۡكُمُ بَيۡنَهُمۡ فِى مَا هُمۡ فِيهِ يَخۡتَلِفُونَ‌ۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَهۡدِى مَنۡ هُوَ كَـٰذِبٌ۬ ڪَفَّارٌ۬
ngatlah! (Hak yang wajib dipersembahkan) kepada Allah ialah segala ibadat dan bawaan yang suci bersih (dari segala rupa syirik) dan orang-orang musyrik yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi pelindung dan penolong (sambil berkata): Kami tidak menyembah atau memujanya melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya, sesungguhnya Allah akan menghukum di antara mereka (dengan orang-orang yang tidak melakukan syirik) tentang apa yang mereka berselisihan padanya. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayat petunjuk kepada orang-orang yang tetap berdusta (mengatakan yang bukan-bukan), lagi sentiasa kufur (dengan melakukan syirik)
(Surah Az-Zumar 39:  Ayat ke 3)

Ya ALLAH..!!

Ya ALLAH..!!
Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala di dalam surah Ar-Rahman, ayat 29:
semua yang ada di langit dan di bumi selalu memohon kepadaNya. Setiap waktu ia berada dalam aktivitiNya.
Apabila laut bergelombang, ombak bergelora, dan angin bertiup kencang, semua penumpang kapal akan berteriak : " Ya  Allah !".  Apabila seseorang tersesat di tengah padang pasir, kenderaan menyimpang jauh dari laluanya ; dan para kafilah merasa kebingungan menentukan arah perjalanannya, mereka akan berseru : " Ya Allah!". Apabila tertimpanya musibah, bencana melanda, dan berlakunya trajedi, ia akan menyebut " Ya Allah!".  Apabila pintu ditutup di hadapan pencari kerja dan tirai-tirai ditutup di depan orang yang meminta, mereka akan berseru "Ya Allah!". Apabila berbagai usaha tidak mampu menyelesaikan, setiap jalan terasa himpit, harapan terhenti, dan semua jalan pintas telah buntu, mereka akan menyeru: "Ya Allah!" . Apabila dunia terasa sempit disebabkan himpitan persoalan hidup jiwa terasa tertekan oleh bebanan kehidupan yang harus dipikul, mereka akan menyeru: "Ya Allah!"
Telah kukhabarkan kepadaMu
segala hal seperti cercaan.
Pekat dan wajah waktu lebih gelap berdebu.
Lalu ku panggil jelas namaMu 
diwaktu Subuh menanti
dan setiap fajar menyingsing
selalu terdengar namaMu terucap.
Hanya kepadaNya sahaja yang layak dipanjatkan kalimah-kalimah yang indah, doa yang ikhlas, bisikan yang jujur, air mata yang menitis penuh keikhlasan dan keinsafan, dan rapatan derita yang membingungkan.
Hanya kepadaNya kedua telapak tangan dihulurkan setiap kali menjelang Subuh, iaitu tangan-tangan orang yang memerlukan pertolonganNya, dan tatapan mata hamba yang penuh harapan, dan segudang benak yang bertanya tentang banyak peristiwa.
Ketika lidah bersenandung menyebut namaNya, memohon, mengharap dan memanggil. Dengan menyebutNya, di mana hari akan menjadi damai, jiwa akan terasa tenang, perasaan menjadi tenteram, saraf tidak lagi menegang, akal menjadi sejuk dan keyakinan menjadi mantap.
Allah Maha Penyayang terhadap hambaNya. ( Asy-Syu'ara': 19 )
Allah: Sebaik-baik nama, susunan huruf yang paling indah, ungkapan yang paling tulus dan kata yang paling bernilai.
..... apakah kamu mengetahui ada sesuatu yang setara dengan Dia? ( Maryam:65 )
Allah: BagiNya segala kekayaan dan keabadian, kekuasaan dan kekuatan, keagungan, kemampuan, dan kebijaksaan.
..... milik siapakah kekuatan pada hari ini? (kekuatan) hanyalah milik Allah Yang Maha Esa dan Maha Perkasa. ( Ghafir : 16 )
Allah: Baginya kebijaksaan, pertolongan, keringanan, bantuan, cinta dan kebaikan.
Apapun nikmat yang kalian terima, semuanya berasal dari Allah. ( An-Nahl: 53 )
Allah:  Sang pemilik segala keagungan, kebesaran, kewibawaab dan keperkasaan.
Sekalipun kulukiskan keagunganMu
dalam goresan
sebagai tanda kesucian yang mempererat jiwa
Engkau tetap Yang Teragung
dan tempat segala yang bermakna.
Ya Tuhan, hanya pada keagunganMu
segalanya terasa lapang.
Ya  Allah, gantikanlah penderitaan ini dengan kesenangan, balasan kesedihan sebagai hal yang menggembirakan, dan hilangkanlah perasaan takut ini kepada ketenteraman.
Ya Allah, sejukkan gelora hati dengan salji keyakinan, dan padamkan gelojak api jiwa dengan air keimanan.
Ya Allah, berikanlah rasa mengantuk sebagai kenyamanan bagi mata yang tidak dapat pejam
Berikan rasa damai bagi jiwa-jiwa yang resah ini suatu kedamaian, dan berikanlah dengan kemenangan yang nyata.
Ya Allah,  tunjukkanlah penglihatan ini menuju cahayaMu; bimbinglah kesesatan ini ke arah jalanMu, dan bimbinglah orang yang tergelincir menuju petunjukMu.
Ya Allah, lenyapkan segala keraguaan dengan cahaya mentari di ufuk timur. Hancurkan segala kebatilan yang bersarang di dalam perasaan dengan secerah sinar kebenaranMu. Hapuskan segala tipu daya syaitan dengan pertolongan bala tenteraMu....
Setitik Nikmat Perlu Disyukuri
Dengan adanya akal maka dapatlah manusia membuat perbezaan antara perkara yang baik dengan yang buruk, yang tinggi dengan yang rendah, yang hitam dengan yang putih, yang hak dengan yang bathil dan sebagainya. Bagaimanapun, ada pula di antara manusia yang tidak mahu menggunakan akal yang dikurniakan Allah itu untuk menentukan garis pertimbangan kehidupan mereka seharian. Hidup mereka dipengaruhi oleh hawa nafsu dan terpedaya dengan godaan syaitan.
Ada satu anugerah yang jarang disyukuri manusia. Biasa yang kita dengar. Si pelajar bersyukur dengan markah peperiksaan yang cemerlang. Si suami soleh bersyukur mendapat isteri solehah. Si ibu bersyukur di kurnia anak-anak yang bijak pandai. Si peserta Akademi Fantasia juga bersyukur apabila bergelar juara. Pendek kata, di dunia ini manusia akan bersyukur apabila mendapat perkara yang diingini. Namun satu perkara yang mungkin lupa disyukuri oleh kebanyakan manusia adalah nikmat lahir sebagai seorang Islam. Apabila lahir saja, kita diazankan, nama pula diberi berbin dan berbintikan bapa, tandanya kita seorang yang beragama Islam.
Namun adakah semua manusia mengamalkan gaya hidup sebagai Islam? Adakah semua manusia mengamalkan gaya hidup seiring dengan penyaksian shahadah yang menjadi kunci keislaman mereka? Berapa ramai orang Islam yang masih menari terlompat-lompat di pusat hiburan. Berapa ramai wanita Islam yang mengandung anak luar nikah. Berapa ramai pasangan Islam yang membuang anak hasil hubungan terlarang. Berapa ramai orang Islam yang masih meneguk arak ketika mengalami tekanan. Lihat, dengar dan renunglah dengan hati, adakah itu tanda kesyukuran kita dengan anugerah dilahirkan sebagai seorang Islam.
Lihatlah manusia yang tiada agama. Mereka berjaya dalam kehidupan. Rumah besar, pangkat besar, pendek kata semua yang diimpi menjadi nyata. Namun alangkah sedih melihat mereka bertindak apabila tertekan. Ada yang terjun bangunan. Ada yang terjun landasan kereta api. Kalau difikir, mana mungkin orang berpelajaran tinggi sanggup mengambil jalan semudah itu sebagai penyelesaian kepada tekanan diri. Yang jelas disitu, mereka tiada tempat mengadu. Mereka tidak tahu dimana mahu mengadu.
Cukup berbeza dengan orang Islam. keindahan Islam itu jelas dan nyata. Kita punya Allah, Tuhan yang Maha Esa sebagai tempat mengadu. Tidakkah kita renung kembali. Walaupun setiap hari melakukan dosa, setiap hari membuat Allah murka, tapi jika kita menadah tangan berdoa dengan yakin, Allah pasti kabulkan permintaan kita. Kita sedih, Allah memujuk. kita gembira Allah mengingatkan.
Walhal, sanggupkah kita bersyukur walaupun diberikan nikmat setitis air, ataupun kita merungut? Apabila hari terik, kita merungut panas, Allah berikan titisan hujan, kita merungut hujan menyusahkan. Bahkan kita membezakan apabila cuara cerah kita kata "Cuaca harini sangat baik", apakah apabila hujan ia bukan cuaca yang baik? kita banyak mementingkan diri sendiri dari mengutamakan kepentingan Allah Swt.
Apa yang ada jarang disyukuri
Apa yang tiada sering dirisaukan
Nikmat yang dikecap
Baru kan terasa bila hilang
Apa yang diburu timbul rasa jemu
Bila sudah di dalam genggaman
Dunia ibarat air laut
Diminum hanya menambah haus
Nafsu bagaikan fatamorgana di padang pasir
Panas yang membahang disangka air
Dunia dan nafsu bagai bayang-bayang
Dilihat ada ditangkap hilang
Tuhan leraikanlah dunia
Yang mendiam di dalam hatiku
Kerana di situ tidakku mampu
Mengumpul dua cinta
Hanya cinta-Mu kuharap tumbuh
Dibajai bangkai dunia yang kubunuh
فَٱذۡكُرُونِىٓ أَذۡكُرۡكُمۡ وَٱشۡڪُرُواْ لِى وَلَا تَكۡفُرُونِ
Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu (dengan mematuhi hukum dan undang-undangKu), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu).
(Surah Al-Baqarah 2:  Ayat ke 152)